|
Nota
Sejarah Tamadun Islam |
|
Laman Web Rasmi Mata Pelajaran Sejarah 940/1 SMK Seri
Tanjong, Melaka |
|
Muka Depan | Sukatan Pelajaran | Nota Tamadun Dunia | Nota Tamadun Islam
| Bank Soalan | Contoh Soalan | Pautan Lain |
|
Konsep Manusia Menurut
Al-Quran : |
|
Pengenalan Perkataan manusia dalam Bahasa Melayu adalah menyamai istilah yang
disebutkan dalam al-Quran, iaitu al-Ins, al-Insan, al-Nas dan al-Basyar.
Nama-nama ini adalah merujuk kepada manusia yang telah diamanahkan oleh Allah
untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, manusia
adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di
darat, di laut atau di udara. Sejak abad ke-4 M, orang-orang Barat begitu
terpengaruh dengan teori evolusi yang menyebutkan bahawa manusia berasal
daripada beruk. Teori ini mula diperkenalkan oleh beberapa orang ahli
falsafah Greek termasuklah Aristotle, Anazimander dan Epidocles. Namun
demikian, teori ini dipertikaikan oleh saujana sains Islam dan juga Barat.
Mereka menganggap ia bukanlah suatu kajian yang bersifat fakta sebaliknya
merupakan satu ideologi sahaja. Manusia
Menurut al-Quran Manusia menurut al-Quran adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh, dan
jasad. Ia adalah sebaik-baik kejadian berbanding dengan malaikat dan
binatang. Malaikat hanyalah dikurniakan akal tetapi tidak dikurniakan nafsu
sedangkan binatang hanya dikurniakan nafsu tanpa akal. Sungguhpun begitu
kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah daripada binatang jika mereka
gagal menggunakan akal dengan baik sebaliknya menjadi hamba kepada nafsu.
Menurut al-Quran, semua manusia adalah berasal dari keturunan Nabi Adam dan
Adam pula dijadikan daripada tanah. Oleh itu, kaedah mantik atau logik manusia
juga berasal daripada tanah. Kebanyakan ulama tafsir berpendapat proses
pembentukan bayi dalam kandungan juga bermula dari saripati tanah atau
disebut sebagai nutfah di dalam al-Quran. Pendapat ini ternyata benar kerana
semua sumber makanan dan minuman adalah berpunca daripada tanah. Berdasarkan
kenyataan ini, jelaslah menunjukkan bahawa konsep manusia menurut Islam
adalah berbeza dengan pandangan yang pernah dikemukakan oleh para pengkaji
antropologi. Fungsi
Manusia Menurut al-Quran Beribadat kepada Allah Menurut al-Quran, manusia berfungsi dan berperanan tersendiri. Fungsi
utama manusia dicipta ialah untuk beribadat kepada Allah. Sehubungan dengan
itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang perlu dilaksanakan
oleh manusia sama ada dalam bentuk fardu ain atau fardu kifayah. Ibadat fardu
ain ialah ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang menepati
syarat-syarat yang telah ditentukan, contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji
dan lain-lain. Ibadat fardu kifayah pula ialah ibadat yang jika dilakukan
oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu dan kumpulan yang lain
tidak wajib lagi melakukannya, contohnya melakukan sembahyang jenazah,
berniaga, mengajar dan sebagainya. Memelihara Alam Selain itu, manusia juga berperanan untuk memelihara alam ini dengan
sebaik-baiknya. Allah telah mencipta alam ini untuk kepentingan manusia
seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini untuk meneruskan
kehidupan mereka di dunia. Sungguhpun begitu, manusia perlu menunaikan tanggungjawab
yang telah diamanahkan oleh Allah dengan menggunakan ciptaan tersebut hanya
untuk perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan sahaja. Mereka tidat
boleh melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga membawa keburukan kepada
manusia atau makhluk lain termasuklah binatang. Mengenali di Antara Satu
Sama Lain Manusia juga perlu berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira
bangsa, agama dan keturunan. Allah mencipta manusia dengan pelbagai puak
supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain. Mereka tidak boleh
berbangga diri, sombong dan takbur. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa
berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah. Perbezaan
agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan. Islam hanya
membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka dengan
jelas menunjukkan penentangan atau cuba membahayakan orang-orang Islam. Dalam
keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka. Memakmurkan Muka Bumi Selain dari memelihara alam ini manusia juga berfungsi untuk memakmurkan
muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Akal
dan pancaidera yang dianugerahkan kepada manusia hendaklah digunakan untuk
meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada. Banyak
rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan menggunakan
akal yang ada. Di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan misalnya terdapat pelbagai
jenis penawar, di dasar lautan juga terdapat pelbagai khazanah, begitu juga
di dalam perut bumi. Hanya manusia yang menggunakan akal dengan sepenuhnya
akan dapat menikmati semua ini. Selain untuk dirinya ia juga dapat memberi
faedah kepada orang lain. Mentauhidkan Allah Manusia yang perlu mentauhidkan Allah, dalam konteks ini manusia ditegah
sekeras-kerasnya melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa
kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik adalah dosa besar yang tidak
akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan taubat yang bersungguh-sungguh.
Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlu mengenali Allah. Manusia
boleh mengenali Allah melalui sifat-sifat-Nya. Terdapat 20 sifat yang wajib
diketahui oleh manusia. Mentadbir / Menjadi Khalifah
di Muka Bumi Fungsi manusia yang seterusnya ialah mentadbir atau menjadi khalifah di
muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk
yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada terhadap
dirinya sendiri atau orang lain. Manusia hendaklah memastikan tidak berlaku
kemungkaran di muka bumi sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya kebaikan.
Hal ini sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar Makruf dan
Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Kesimpulan Berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa manusia mempunyai
tanggungjawab yang sangat besar. Sekiranya manusia berjaya melaksanakan
tanggungjawab tersebut sepenuhnya maka mereka akan dapat menikmati hidup ini
dengan penuh kebahagiaan. Jika sebaliknya yang berlaku maka kemusnahan dan
huru-hara pasti tidak dapat dielakkan. << Kembali Ke Menu
Nota Tamadun Islam |
|
|
|
Laman Web Ini Hanya
Untuk Kegunaan Pelajar Jurusan Sejarah 940/1
SMK Seri Tanjong, Melaka Sahaja. |